Assalamualaikum, salam Jumaat.
Pada peringkat awal, Rasulullah SAW melarang umatnya
menziarahi kubur kerana orang yang menziarahi kubur pada masa itu akan
melakukan perkara-perkara yang dilarang antaranya duduk di atas kubur,
menangis, merintih-rintih, mengoyak-ngoyak baju, memukul pipi dan sebagainya.
Namun, apabila kefahaman Islam semakin kukuh, maka Rasulullah SAW menggalakkan
umatnya menziarahi kubur untuk melembutkan hati, mengingatkan tentang azab
kubur dan hari pembalasan di Padang Mahsyar agar umatnya sentiasa dalam keadaan
bersederhana di dunia. Antara adab yang diajar Nabi Muhammad SAW ketika melawat
kubur ialah;
1)
Memperbetul tujuan menziarahi kubur.
Rasulullah SAW bersabda, “Dahulu aku telah melarang
kalian menziarahi kubur, sekarang ziarahilah kubur, maka sesungguhnya
menziarahi kubur melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan hari
akhirat. Dan janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan
batil.” (HR al-Hakim dan dinilai hasan oleh al-Albani)
Justeru, tujuan ziarah ialah mengingatkan orang yang
menziarahi kubur kepada kematian dan memberi manfaat kepada penziarah. Seseorang
boleh melakukan di mana jua dia berada jika ingin menghadiahkan pahala dan
berdoa kepada ahli kubur kerana Allah SWT yang memberikan pahala tanpa mengira
di mana jenazah berada.
2)
Tidak mengadakan perayaan di perkuburan.
Islam melarang penganutnya menjadikan kubur atau amalan
ziarah kubur sebagai sebuah perayaan. Rasulullah SAW menegaskan, “Jangan
jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku
sebagai tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat
kalian akan sampai kepadaku dimana jua kalian berada.” (HR Abu Daud dan
dinilai sahih oleh al-Albani).
Amalan mengunjungi kubur hanya pada setiap Hari Raya
Aidil Fitri dan Aidil Adha perlu direnungi semula kerana diibaratkan perayaan
bersama kaum keluarga di perkuburan. Malah dianjurkan dalam Islam supaya
bergembira dan bertanya khabar pada 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Begitu juga kita
boleh berselawat kepada Rasulullah SAW di mana jua kita berada dan tidak perlu
mengirimkan salam kepada Rasulullah SAW melalui rakan-rakan yang menunaikan
umrah dan haji.
3)
Mengucapkan salam.
Rasulullah SAW telah mengajar beberapa ucapan ke atas
ahli kubur, antaranya ialah;
“Salam sejahtera ke atas kalian wahai penduduk negeri
kaum mukminin dan muslimin. Dan sesungguhnya jika diizinkan Allah kami
menyusul. Aku memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan bagi kalian.” (HR Muslim)
4)
Tidak mengucapkan perkataan yang keji.
Berbicara urusan duniawi di tanah perkuburan memberi
impak kepada penziarah hingga boleh menjauhi daripada tujuan asal ziarah iaitu
melembutkan hati dan mengingatkan kepada hari akhirat.
Muslim juga dilarang mencela, mengkritik dan mengaibkan
jenazah yang dikebumikan di kubur itu. Rasulullah SAW mengingatkan, “Jangan
mencela orang-orang yang sudah meninggal dunia kerana mereka sudah sampai
kepada apa yang mereka lakukan.” (HR Bukhari)
5)
Tidak menunaikan solat di kubur kecuali solat jenazah.
Rasulullah SAW bersabda, “Jadikanlah di rumah kalian sebahagian
daripada solat-solat kalian dan janganlah kalian jadikannya perkuburan.” (HR
Bukhari).
Nabi SAW pernah menunaikan solat jenazah di perkuburan sebagaimana
hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya wanita berkulit
hitam yang biasa membersihkan masjid (meninggal dunia). . . , maka Nabi
berkata: Tunjukkanlah kepadaku kubur dia, maka para sahabat menunjukkan kepada
Baginda kuburan wanita tadi kemudian Nabi solat jenazah untuknya.” (HR
Bukhari dan Muslim). Muslimin dilarang sama sekali solat menghadap kubur. Sabda
Nabi SAW, “Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya.” (HR
Muslim)
6)
Tidak membaca al-Quran di kubur.
Rasulullah SAW bersabda, “Jangan jadikan rumah-rumah
kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di
dalamnya surah al-Baqarah.” (HR Muslim).
Rumah yang tidak dibaca al-Quran diumpamakan seperti
kubur. Justeru, setiap muslim digalakkan membaca al-Quran di dalam rumah
khususnya surah al-Baqarah. Kubur bukanlah tempat untuk membaca al-Quran. Sesiapa
yang ingin menghadiahkan bacaan al-Quran kepada orang yang sudah meninggal
dunia boleh melakukan di mana jua dia berada dan tidak perlu duduk di sebelah
kuburan.
7)
Tidak memijak kubur.
Jabir r.a. menerangkan, “Nabi SAW melarang dari
mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya.”
(HR at-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani).
Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa dilarang
mengkapur atau mewarna atu menghias, menyimen, atau membuat binaan konkrit,
jubin, marmar dan sebagainya. Dilarang menulis di atas kubur seperti menulis
doa-doa di batu nisan dan menulis ayat-ayat al-Quran di sekeliling kubur.
Namun wajar membuat tanda pengenalan untuk mengenali dan
dibezakan kubur seseorang berdasarkan tindakan Rasulullah SAW yang meletak batu
di sebelah kubur Uthman bin Mazhun r.a., “Aku memberi tanda dengan batu ini
untuk kubur saudaraku dan disinilah akan dikebumikan sesiapa yang meninggal
dunia dari kalangan ahli keluargaku.” (HR Abu Daud dan dinilai hasan oleh
al-Albani)
8)
Tidak meletakkan karangan bunga atau seumpamanya.
Meletakkan karangan bunga, bunga rampai dan sebagainya di
atas kuburan bukanlah syariat Islam. Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, “Rasulullah
SAW melalui kuburan lalu Baginda terdengar suara dua orang diseksa di dalam
kubur mereka. Rasulullah SAW bersabda, “Mereka berdua itu diseksa. Tidaklah
mereka berdua itu diseksa kerana perkara besar . . . lalu Rasulullah SAW
meminta dibawakan pelepah tamar dan Baginda membelahnya menjadi dua lantas
meletakkannya pada kedua kubur itu. Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah! Mengapa
berbuat demikian?” Baginda menjawab, “Semoga itu akan meringankan (azab) selagi
pelepah kurma itu tidak kering sehinggalah kering.” (HR Bukhari)
Hadis ini dikhususkan dengan sebuah hadis panjang yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Aku
melintasi dua buah kubur yang penghuninya diseksa, maka aku mahu berikan syafaatku
agar dihindarkan daripada kedua-duanya azab selagi dua ranting itu basah.”
(HR Muslim).
Hadis ini jelas menunjukkan sebab Nabi SAW meletakkan
ranting di atas kubur sebagai syafaat dan doanya. Perbuatan sahabat yang
bertanya menunjukkan bahawa hal ini tidak pernah dilakukan sebelum itu dan
tidak pula diperintahkan oleh Nabi SAW agar diikuti oleh para sahabat. Perbuatan
ini khusus kepada Baginda sebagai doa dan syafaat untuk umatnya. Perbuatan
membawa jambangan bunga bertentangan dengan ajaran islam kerana pembaziran.
Firman Allah SWT bermaksud, “Janganlah kamu menghamburkan-hamburkan hartamu
secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara-saudara syaitan, dan syaitan
itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Israk: 26-27)
Demikianlah antara adab yang perlu dijaga apabila
menziarahi kubur. Menziarahi kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari
pengkebumian atau setiap kali menjelangnya hari raya sahaja. Sunnah menjadikan
amalan menziarahi kubur itu sebagai suatu usaha orang yang hidup mengingati orang
yang telah mati dan mengingatkan dirinya bahawa dia juga akan mati. Oleh itu,
dengan mengingati mati seseorang akan memperbanyakkan amal ibadatnya di dunia.
Wallahua'lam bis sawab.
Comments
Post a Comment