Assalamualaikum, salam Jumaat.
Seorang Muslim belum tentu Mukmin, seorang Mukmin
belum tentu Muhsin dan Mukhlis. Namun, seorang Muttaqin
sudah tentu Muslim, Mukmin, Muhsin, dan Mukhlis.
Siapakah yang dikatakan Muttaqin ini dan mengapa setiap Muslim
harus berusaha mencapai darjat Muttaqin? Apakah hubungkaitnya dengan
akidah dan amalan ibadah seorang hamba? Mari bersama telusuri lima darjat
seorang manusia yang memeluk agama Islam.
1. MUSLIM
Perkataan Islam merupakan isim (kata nama) yang
bermaksud agama Islam atau agama yang sejahtera. Muslim pula ialah orang yang
beragama Islam dan menyerah diri serta tunduk kepada Allah SWT.
Apabila seorang manusia telah mengucapkan dua kalimah
syahadah dan berikrar Islam sebagai agamanya, bermakna dia sudah menerima
segala kewajipan dan hak yang telah digariskan Islam seperti mengerjakan solat
lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji jika
berkemampuan.
Firman Allah SWT, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami
berdua, orang-orang Islam (berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada
keturunan kami umat Islam (berserah diri) kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada
kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya
Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah :
128).
Untuk menjadi seorang Muslim sejati tidak cukup
dengan hanya pengakuan sahaja. Pengakuan itu perlu diiringi dengan niat dan
amal mengikut apa yang diperintah agama. Kesempurnaan melaksanakan suruhan
Allah SWT itu dengan taat, maka barulah seorang Muslim itu meningkat
makamnya ke peringkat Mukmin.
2. MUKMIN
Perkataan Mukmin berasal daripada perkataan iman.
Iman mengikut pengertian bahasa ialah percaya (iktikad) atau membenarkan
(tasdiq). Manakala dari segi istilah, iman ialah mengucapk perkataan
yang keluar dari mulut dan membenarkan dengan lisan, bersungguh berpegang di
dalam hati dan menterjemahkannya melalui amalan dan perbuatan. Muslim yang mempunyai
keyakinan dan keteguhan iman digelar Mukmin iaitu orang yang
bersungguh-sungguh beriman kepada Allah SWT. Tanda-tanda seorang Mukmin dapat
diamati dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu
ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hatinya; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambah keimanannya, dan mereka
bertawakal kepada Allah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan mendermakan
sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang
beriman dengan sebenar-benar Mukmin. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi
di sisi Tuhan dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (Surah
al-Anfal: 2 - 4)
Dalam Surah Mukminun Allah SWT telah menyatakan
sifat-sifat Mukmin yang sejati dari ayat pertama hingga kesepuluh. Orang-orang Mukmin
yang bersifat dengan sifat demikian ialah orang yang berjaya di dunia dan
akhirat. Antara sifat yang telah dijelaskan oleh Allah SWT ialah;
1)
Orang yang khusyuk dalam solatnya. Ibnu Abbas berpendapat khusyuk bermaksud takut dan
tenang. Sementara Hassan al-Basri pula mengatakan khusyuk itu ialah khusyuk
hati, tunduk pandangan dan merendahkan diri di hadapan Allah SWT .
2)
Meninggalkan perkara yang sia-sia dan batil yakni perbuatan syirik, maksiat, kata-kata dan amalan yang
tidak berfaedah.
3)
Menunaikan zakat. Zakat di dalam ayat ini menurut Muhammad Ali as-Sobuni
ialah zakat harta.
4)
Menjaga kemaluan daripada melakukan perkara-perkara keji seperti berzina, liwat dan tidak menghampiri
perempuan-perempuan bukan mahram kecuali isteri dan hamba sahaya yang telah
dihalalkan kepada mereka.
5)
Menunaikan amanah dan menepati janji yakni tidak berkelakuan seperti sifat munafik sebagaimana
sabda Rasulullah SAW, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila
mereka bercakap mereka berbohong, apabila mereka berjanji mereka ingkari dan
apabila mereka diberi amanah mereka khianati.”
6)
Menjaga solat iaitu sentiasa menunaikan solat pada awal waktu sebagaimana Ibnu Mas’ud
berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang apakah amalan yang paling Allah SWT
sukai? Maka Rasulullah SAW memjawab, “Solat di awal waktu, berbuat baik
kepada ibu bapa dan berjihad di medan peperangan.”
Namun, apabila seseorang melakukan dosa besar, keluarlah
iman dari hatinya dan dia bukan lagi Mukmin berdasarkan sabda Rasulullah
SAW, “Tidaklah berzina seorang penzina ketika dia berzina dan dia seorang Mukmin.
Dan tidaklah meminum khamr (arak) ketika dia meminumnya dan dia seorang Mukmin.
Dan tidaklah mencuri ketika dia mencuri padahal dia seorang Mukmin. Dan
tidaklah merampas barang yang manusia melihat kepadanya dengan mata-mata mereka
ketika dia merampas barang tersebut padahal dia seorang Mukmin.” (HR
Bukhari & Muslim)
Apabila pelaku dosa itu bertaubat, maka dia masih lagi dikira
sebagai Muslim. Sabda Rasulullah SAW, “Apabila seorang hamba berzina
keluarlah iman darinya. Lalu iman itu berada di atas kepalanya seperti naungan,
maka apabila dia telah bertaubat, (masuk) kembali iman itu kepadanya.” (HR
Abu Daud)
Adapun seorang Mukmin itu bersifat dengan akhlak mahmudah
maka Allah SWT akan mewariskan mereka Syurga Firdaus.
3. MUHSIN
Muhsin
ialah Mukmin yang mencapai tahap Ihsan sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. dalam sebuah hadis yang panjang.
“Apa itu Ihsan? Dia menjawab: Kamu menyembah Allah
seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah
bahawa Dia (Allah) melihat kamu.” (HR Bukhari)
Seorang Mukmin perlu mengerjakan perbuatan
kebajikan yang disebut ihsan. Ihsan itu meliputi segala perbuatan yang
baik terhadap diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Sebagaiman firman Allah
SWT, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau
melupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat
baik kepadamu dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah
al-Qasas: 77)
Justeru, seorang muhsin sentiasa berbuat baik,
tidak menyakiti hati orang lain, menjaga tutur kata dengan berfikir dahulu
sebelum berkata, tidak mengungkiri janji, berkasih sayang sesama makhluk dan
menjauhkan diri daripada keburukan.
4. MUKHLIS
Orang yang ikhlas dalam menjalankan agama ialah orang
yang merelakan jiwa, harta benda dan segala yang dimilikinya semata-mata
berjuang untuk agama Allah. Pendek kata, menafkahkan diri untuk Allah SWT.
Seorang mukhlis itu mengerjakan amal itu
hanya semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana mengharapkan pujian, sanjungan,
pangkat dan lain-lain. Firman Allah SWT, “Pada hal mereka tidak
diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat
kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat
serta memberi zakat. dan itulah agama yang benar.”(Surah al-Bayyinah, 5)
5. MUTTAQIN
Muttaqin
berasal dari perkataan taqwa iaitu takut pada Allah. Muttaqin berasal
daripada perkataan wiqaya bererti perlindungan. Manakala dari segi
istilah, taqwa ditakrifkan sebagai orang yang melaksanakan perintah
Allah dengan sesempurnanya dan menjauhkan diri daripada larangan Allah. Orang
yang bertaqwa digelar Muttaqin. Antara syarat orang-orang yang bertaqwa ialah
sebagaimana firman Allah SWT, “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak
padanya dan petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang
beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan solat serta menginfakkan sebahagian
dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman
kepada Al-Quran yang diturunkan kepadamu
(Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta
mereka yakin akan hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari
Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.”(Surah al-Baqarah:
2-5)
Iman boleh bertambah dan berkurang. Hubung kait iman dan
taqwa dapat dilihat sebagaimana penjelasan al-Quran yang antaranya memerintahkan
agar orang-orang beriman menunaikan puasa. Natijah daripada amalan puasa itu,
seseorang itu akan mendapat taqwa. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang
beriman! Diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”(Surah al-Baqarah: 183)
Buah iman dan amal yang dilakukan secara ikhlas kepada
Allah SWT akan melahirkan taqwa. Peringkat taqwa merupakan
capaian tertinggi dalam maqam Islam. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara
kamu.” (Surah al-Hujurat: 13)
KESIMPULAN
Proses peningkatan keislaman ini akan melahirkan tahap Muttaqin
yang hakiki. Tingkatan yang berbeza di sisi Allah SWT bergantung kepada
sejauh mana interaksi hati seseorang dengan Allah SWT. Perbezaan interaksi
inilah yang akan menentukan tahap seseorang itu sama ada tahap Muslim
biasa, Mukmin hakiki atau posisi tertinggi iaitu Muttaqin.
Wallahu a'lam bis sawab.
1 lagi tingkatan ialah muqorrobin. Maaf kalau silap.
ReplyDelete