Assalamualaikum, salam Jumaat.
Menyuburkan kembali dan melazimkan penggunaan bahasa Arab hari ini merupakan perkembangan yang sangat baik. Sementelah bahasa Arab ialah bahasa al-Quran, bahasa teras di dalam agama Islam. Cuma terdapat kesilapan yang sering berlaku dan menjadi ikutan para pengguna Bahasa Arab ketika mahu menyampaikan ucapan tahniah iaitu, mereka selalu mengucapkan “mabruk” (مبروك). Sedangkan penggunaan kalimah yang lebih tepat ialah "mubarak 'alaikum" (مبارك عليكم), atau "mubarak 'alaik" (مبارك عليك).
Menurut kamus Mu’jam al-Wasit, kalimah asal “mabruk” (مبروك) ialah “baraka” (برك) yang bermaksud (ثبت وأقام) iaitu (duduk tetap, atau berdiri/bangun). Oleh itu, penggunaan ungkapan “mabruk” kepada seseorang bermaksud engkau telah “terduduk” atau dalam bahasa kasar juga boleh bermaksud “padan muka engkau”. Manakala penggunaan yang tepat “mubarak 'alaik” bermaksud “semoga keberkatan sentiasa memayungimu.”
KESIMPULAN
Justeru, bagi menggantikan penggunaan kalimah “mabruk” sebagai ucapan tahniah, berikut diberikan beberapa kalimah sepadan yang sesuai untuk diucapkan:
1) Mubarak 'alaik / Mubarak 'alaikum (مبارك عليك / مبارك عليكم) yang bermaksud “Semoga keberkatan sentiasa (memayungi/menaungi) ke atasmu.”
2) Baarakallahu fiik / Baarakallahu fiikum (بارك الله فيك / بارك الله فيكم) bermaksud “Allah memberkatimu.”
3) Allah yubarik fik / Allah yubarik fiikum (الله يبارك فيك / الله يبارك فيكم) yang bermaksud “Semoga Allah sentiasa memberkatimu.”
4) Barak fi / Barak ‘ala / Barak li (بارك في / بارك على / بارك لِ) sepertimana dalam doa Nabi SAW ke atas pengantin yang baru bernikah.
بارك الله لكما وجمع بينكما في خير
Barakallahu lakuma wa jama’a baina kuma fi khair
“Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan.”
Wallahu a'lam bis sawab (Allah Lebih Mengetahui Yang Benar).
Comments
Post a Comment