Soalan: Ketika mendengar khutbah Jumaat, saya kerapkali berasa
mengantuk. Bagi mengelakkan terlena, saya mengeluarkan telefon pintar untuk melihat
akaun Facebook. Bukankah kita hanya ditegah bercakap ketika khutbah diperdengarkan.
Betul ke salah?
Jawapan: Ramai yang masih tidak menyedari bahawa perbuatan
bermain-main dengan telefon selular sama ada untuk ber-facebook, berbalas
email, sms atau sekadar ambil peluang membaca mesej rakan-rakan ketika khatib
sedang membaca khutbah akan menghilangkan pahala Jumaat. Malah sesetengah ulama
berpendapat ibadah Jumaatnya menjadi solat Zohor biasa. Ini berasaskan hadis
Nabi SAW: “Barangsiapa yang berwuduk, lalu memperbaharui wuduknya kemudian
ia mendatangi (solat) Jumaat, kemudian (di saat khutbah) dia betul-betul dengar
dan diam, maka dosanya akan diampunkan antara Jumaat ini dan Jumaat sebelumnya
ditambah tiga hari. Barangsiapa yang bermain-main dengan batu, maka ia
benar-benar melakukan hal yang batil (lagi tercela).” (HR Muslim)
Perbuatan ini jelas
dikategorikan sebagai perbuatan lagha (sia-sia). Larangan ini jelas
mengingatkan kaum Muslimin agar memberi sepenuh perhatian pada khutbah. Bukan
sahaja percakapan malah meliputi semua aktiviti atau perkara yang membuatkan
seseorang tidak memberikan perhatian terhadap khutbah. Namun, para ulamak
berikhtilaf tentang hukum ini. Ada yang mengatakan haram atau makruh.
Kebanyakan ulama bersepakat mengatakan haram tetapi Imam Syafie menghukumkan
sebagai makruh. Justeru, ambillah peluang untuk mendapatkan keampunan yang
dijanjikan Allah SWT pada setiap hari Jumaat dengan melaksanakan segala amalan
yang diperintahkan dan menjauhi perbuatan lagha (tercela) supaya pahala
Jumaat tidak hilang.
Wallahua'lam bis sawab.
Comments
Post a Comment