Skip to main content

DI MANA DARJAH KEISLAMAN KITA?

Assalamualaikum, salam Jumaat.

Seorang Muslim belum tentu Mukmin, seorang Mukmin belum tentu Muhsin dan Mukhlis. Namun, seorang Muttaqin sudah tentu Muslim, Mukmin, Muhsin, dan Mukhlis. Siapakah yang dikatakan Muttaqin ini dan mengapa setiap Muslim harus berusaha mencapai darjat Muttaqin? Apakah hubungkaitnya dengan akidah dan amalan ibadah seorang hamba? Mari bersama telusuri lima darjat seorang manusia yang memeluk agama Islam.

1. MUSLIM
Perkataan Islam merupakan isim (kata nama) yang bermaksud agama Islam atau agama yang sejahtera. Muslim pula ialah orang yang beragama Islam dan menyerah diri serta tunduk kepada Allah SWT.

Apabila seorang manusia telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan berikrar Islam sebagai agamanya, bermakna dia sudah menerima segala kewajipan dan hak yang telah digariskan Islam seperti mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji jika berkemampuan.

Firman Allah SWT, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua, orang-orang Islam (berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (berserah diri) kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah : 128).

Untuk menjadi seorang Muslim sejati tidak cukup dengan hanya pengakuan sahaja. Pengakuan itu perlu diiringi dengan niat dan amal mengikut apa yang diperintah agama. Kesempurnaan melaksanakan suruhan Allah SWT itu dengan taat, maka barulah seorang Muslim itu meningkat makamnya ke peringkat Mukmin.

2. MUKMIN
Perkataan Mukmin berasal daripada perkataan iman. Iman mengikut pengertian bahasa ialah percaya (iktikad) atau membenarkan (tasdiq). Manakala dari segi istilah, iman ialah mengucapk perkataan yang keluar dari mulut dan membenarkan dengan lisan, bersungguh berpegang di dalam hati dan menterjemahkannya melalui amalan dan perbuatan. Muslim yang mempunyai keyakinan dan keteguhan iman digelar Mukmin iaitu orang yang bersungguh-sungguh beriman kepada Allah SWT. Tanda-tanda seorang Mukmin dapat diamati dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hatinya; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambah keimanannya, dan mereka bertawakal kepada Allah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benar Mukmin. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi Tuhan dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (Surah al-Anfal: 2 - 4)

Dalam Surah Mukminun Allah SWT telah menyatakan sifat-sifat Mukmin yang sejati dari ayat pertama hingga kesepuluh. Orang-orang Mukmin yang bersifat dengan sifat demikian ialah orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Antara sifat yang telah dijelaskan oleh Allah SWT ialah;

1)      Orang yang khusyuk dalam solatnya. Ibnu Abbas berpendapat khusyuk bermaksud takut dan tenang. Sementara Hassan al-Basri pula mengatakan khusyuk itu ialah khusyuk hati, tunduk pandangan dan merendahkan diri di hadapan Allah SWT .

2)      Meninggalkan perkara yang sia-sia dan batil yakni perbuatan syirik, maksiat, kata-kata dan amalan yang tidak berfaedah.

3)      Menunaikan zakat. Zakat di dalam ayat ini menurut Muhammad Ali as-Sobuni ialah zakat harta.

4)      Menjaga kemaluan daripada melakukan perkara-perkara keji seperti berzina, liwat dan tidak menghampiri perempuan-perempuan bukan mahram kecuali isteri dan hamba sahaya yang telah dihalalkan kepada mereka.

5)      Menunaikan amanah dan menepati janji yakni tidak berkelakuan seperti sifat munafik sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila mereka bercakap mereka berbohong, apabila mereka berjanji mereka ingkari dan apabila mereka diberi amanah mereka khianati.”

6)      Menjaga solat iaitu sentiasa menunaikan solat pada awal waktu sebagaimana Ibnu Mas’ud berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang apakah amalan yang paling Allah SWT sukai? Maka Rasulullah SAW memjawab, “Solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di medan peperangan.”

Namun, apabila seseorang melakukan dosa besar, keluarlah iman dari hatinya dan dia bukan lagi Mukmin berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Tidaklah berzina seorang penzina ketika dia berzina dan dia seorang Mukmin. Dan tidaklah meminum khamr (arak) ketika dia meminumnya dan dia seorang Mukmin. Dan tidaklah mencuri ketika dia mencuri padahal dia seorang Mukmin. Dan tidaklah merampas barang yang manusia melihat kepadanya dengan mata-mata mereka ketika dia merampas barang tersebut padahal dia seorang Mukmin.” (HR Bukhari & Muslim)

Apabila pelaku dosa itu bertaubat, maka dia masih lagi dikira sebagai Muslim. Sabda Rasulullah SAW, “Apabila seorang hamba berzina keluarlah iman darinya. Lalu iman itu berada di atas kepalanya seperti naungan, maka apabila dia telah bertaubat, (masuk) kembali iman itu kepadanya.” (HR Abu Daud)

Adapun seorang Mukmin itu bersifat dengan akhlak mahmudah maka Allah SWT akan mewariskan mereka Syurga Firdaus.

3. MUHSIN
Muhsin ialah Mukmin yang mencapai tahap Ihsan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. dalam sebuah hadis yang panjang.
“Apa itu Ihsan? Dia menjawab: Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia (Allah) melihat kamu.” (HR Bukhari)

Seorang Mukmin perlu mengerjakan perbuatan kebajikan yang disebut ihsan. Ihsan itu meliputi segala perbuatan yang baik terhadap diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Sebagaiman firman Allah SWT, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77)

Justeru, seorang muhsin sentiasa berbuat baik, tidak menyakiti hati orang lain, menjaga tutur kata dengan berfikir dahulu sebelum berkata, tidak mengungkiri janji, berkasih sayang sesama makhluk dan menjauhkan diri daripada keburukan.

4. MUKHLIS
Orang yang ikhlas dalam menjalankan agama ialah orang yang merelakan jiwa, harta benda dan segala yang dimilikinya semata-mata berjuang untuk agama Allah. Pendek kata, menafkahkan diri untuk Allah SWT.
Seorang mukhlis itu mengerjakan amal itu hanya semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana mengharapkan pujian, sanjungan, pangkat dan lain-lain. Firman Allah SWT, “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. dan itulah agama yang benar.”(Surah al-Bayyinah, 5)

5. MUTTAQIN
Muttaqin berasal dari perkataan taqwa iaitu takut pada Allah. Muttaqin berasal daripada perkataan wiqaya bererti perlindungan. Manakala dari segi istilah, taqwa ditakrifkan sebagai orang yang melaksanakan perintah Allah dengan sesempurnanya dan menjauhkan diri daripada larangan Allah. Orang yang bertaqwa digelar Muttaqin. Antara syarat orang-orang yang bertaqwa ialah sebagaimana firman Allah SWT, “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya dan petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan solat serta menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada Al-Quran  yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.”(Surah al-Baqarah: 2-5)

Iman boleh bertambah dan berkurang. Hubung kait iman dan taqwa dapat dilihat sebagaimana penjelasan al-Quran yang antaranya memerintahkan agar orang-orang beriman menunaikan puasa. Natijah daripada amalan puasa itu, seseorang itu akan mendapat taqwa. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”(Surah al-Baqarah: 183)

Buah iman dan amal yang dilakukan secara ikhlas kepada Allah SWT akan melahirkan taqwa. Peringkat taqwa merupakan capaian tertinggi dalam maqam Islam. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu.” (Surah al-Hujurat: 13)

KESIMPULAN
Proses peningkatan keislaman ini akan melahirkan tahap Muttaqin yang hakiki. Tingkatan yang berbeza di sisi Allah SWT bergantung kepada sejauh mana interaksi hati seseorang dengan Allah SWT. Perbezaan interaksi inilah yang akan menentukan tahap seseorang itu sama ada tahap Muslim biasa, Mukmin hakiki atau posisi tertinggi iaitu Muttaqin.



Wallahu a'lam bis sawab. 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

FENOMENA “MABRUK”

Assalamualaikum, salam Jumaat. Menyuburkan kembali dan melazimkan penggunaan bahasa Arab hari ini merupakan perkembangan yang sangat baik. Sementelah bahasa Arab ialah bahasa al-Quran, bahasa teras di dalam agama Islam. Cuma terdapat kesilapan yang sering berlaku dan menjadi ikutan para pengguna Bahasa Arab ketika mahu menyampaikan ucapan tahniah iaitu, mereka selalu mengucapkan “mabruk” (مبروك). Sedangkan penggunaan kalimah yang lebih tepat ialah "mubarak 'alaikum" (مبارك عليكم), atau "mubarak 'alaik" (مبارك عليك). Menurut kamus Mu’jam al-Wasit, kalimah asal “mabruk” (مبروك) ialah “baraka” (برك) yang bermaksud (ثبت وأقام) iaitu (duduk tetap, atau berdiri/bangun). Oleh itu, penggunaan ungkapan “mabruk” kepada seseorang bermaksud engkau telah “terduduk” atau dalam bahasa kasar juga boleh bermaksud “padan muka engkau”. Manakala penggunaan yang tepat “mubarak 'alaik” bermaksud “semoga keberkatan sentiasa memayungimu.” KESIMPULAN  Justeru...

MINYAK MASAK DIMASUKI SERANGGA

Soalan: Minyak masak di rumah saya sering dimasuki serangga seperti semut dan lalat. Bolehkah saya menggunakan minyak tersebut? Bagaimanakah cara membuangnya? Adakah masih suci sekiranya saya membuang serangga tersebut? Jawapan: Menurut jumhur, bangkai binatang yang tidak ada darah mengalir seperti semut dan lalat tidak najis. Namun, mazhab Syafie mengatakan ia najis dan dimaafkan kerana kesukaran untuk mengelak daripadanya. Nabi SAW bersabda:  “Apabila lalat terjatuh di dalam bekas air kamu, maka celupkan ia ke dalam air itu kemudian buanglah lalat itu. Ini kerana pada sebelah sayapnya ada racun dan sebelah lagi ada penawar.”   (HR Bukhari dan Abu Daud) Difahami daripada hadis ini jika lalat itu najis, Nabi SAW tidak akan menyuruh kita mencelupkannya ke dalam air. Tentu Baginda SAW akan memerintahkan supaya air itu dibuang. Oleh kerana Nabi SAW tidak memerintahkan agar air dibuang, maka itu bermakna bangkai lalat tidak najis. Kalau ia dikatakan najis, maka naj...